Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA), Kementerian Kesihatan Malaysia telah membatalkan notifikasi produk kosmetik Skin Revolution-Acne Clearing Solution berikutan didapati mengandungi racun berjadual iaitu clindamycin dan metronidazole.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Norhaliza A. Halim berkata, pihaknya telah membatalkan notifikasi produk kosmetik ini dan penjualan produk ini tidak lagi dibenarkan di negara ini.
Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dibawah nasihat dan pengawasan ahli profesional kesihatan.

Clindamycin dan Metronidazole Serta Kesan Sampingannya
Clindamycin adalah ubat antibiotik yang lazimnya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria yang serius.
Penggunaan clindamycin ini boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius jika digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan.
Antara kesan sampingan yang boleh disebabkan oleh clindamycin adalah:
- Loya
- Muntah-muntah
- Sakit perut
- Ruam pada kulit
- Gatal pada vagina atau lelehan vagina
- Cirit-birit berdarah
- Air kencing sedikit atau tiada
- Rasa logam di dalam mulut
- Sakit sendi
- Sakti semasa menelan
- Kulit melepuh
Metronidazole juga merupakan ubat antibiotik yang digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan bakteria dan parasit.
Penggunaan metronidazole juga mestilah dibawah kawalan dan pengawasan ahli profesional kesihatan.
Metronidazole boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
- Sukar atau sakit semasa kencing
- Rasa seperti hendak pitam
- Lepuh atau ulser di mulut
- Rasa kebas atau semut-semut di tangan dan kaki
- Masalah penglihatan
- Sawan
- Loya dan muntah-muntah
- Sakit kepala
- Pening
- Sakit perut
- Hilang selera makan
- Cirit-birit
- Sembelit
- Rasa logam di dalam mulut
Penggunaan kedua-dua jenis antibiotik ini tanpa keperluan sebenar boleh menyebabkan ubat ini tidak lagi berkesan pada masa hadapan sekiranya berlaku jangkitan.
Ubat antibiotik ini juga boleh menyebabkan pertumbuhan berlebihan bakteria berbahaya di dalam usus.
Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.
Peringatan kepada Orang Awam
Orang awam dinasihatkan berhenti menggunakan produk ini dan segera mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan atau ketidakselesaan.
Orang awam dinasihatkan untuk menyemak status sesuatu produk kesmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA (www.npra.gov.my) atau menggunakan aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turut di Google Play Store.