Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM23,956,851 menerusi serbuan di 1,332 premis sepanjang 2021 hingga 31 Jan tahun ini.
Menurut kenyataan secara bertulis kepada Dewan Rakyat pada 2 Mac yang lepas, KKM memaklumkan bahawa serbuan yang berterusan terhadap premis-premis dan penjual adalah berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam dan pemantauan dalaman oleh pihaknya.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Dungun (Wan Hassan Mohd Ramli), KKM memberitahu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan ubat tidak berdaftar secara dalam talian.
Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual produk kesihatan tidak berdaftar akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Sepanjang 2021, sebanyak 8,145 iklan produk tidak berdaftar telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara.
Pihak syarikat pengendali platform e-dagang juga turut diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan tidak berdaftar.
Tambahan lagi, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga terlibat dalam operasi dan aktiviti antarabangsa yang memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya seperti Operasi Pangea, Projek Energia dan penyediaan Toolkit to Combat Illegal Internet Medical Product Sales.
KKM juga turut berkerjasama dengan pihak Interpol dan agensi penguatkuasaan lain dalam dan luar negara bagi memastikan ubat-ubatan yang dijual secara dalam talian tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia.