Permainan lato-lato yang menjadi kegilaan bagi kanak-kanak pada masa ini menjadi satu perdebatan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Ramai yang berpendapat bahawa mainan ini tidak membawa sebarang faedah atau kebaikan kepada kanak-kanak. Malah, ia mungkin mengundang bahaya seperti kecederaan atau melalaikan mereka daripada belajar.
Sebenarnya lato-lato adalah permainan zaman dahulu yang popular sekitar tahun 1970-an di luar negara. Mainan ini dikatakan berasal dari Amerika Syarikat, dikenali dengan nama “clackers” atau “knockers.”

Terdapat beberapa buah negara mengharamkan permainan ini termasuklah Amerika Syarikat, England dan Mesir.
Terdapat banyak gesaan daripada ibu bapa dan badan bukan kerajaan agar kerajaan mengharamkan penjualan mainan tersebut.
Baru-baru ini terdapat satu kejadian di Guar Chempedak, Kedah di mana cermin hadapan sebuah kereta pecah gara-gara terkena permainan lato-lato ini. Lebih malang lagi, ia disebabkan oleh individu atau kanak-kanak yang tidak dikenali.
Manakala, kejadian di Kalimantan, Indonesia pula menyaksikan seorang kanak-kanak terpaksa menjalani pembedahan mata akibat daripada terkena serpihan bola lato-lato.
Ini semua adalah contoh kesan buruk permainan ini kepada kanak-kanak.
Justeru itu, komitmen dan cakna daripada kerajaan amatlah diperlukan bagi mengekang permainan ini daripada terus membawa lebih banyak mudarat kepada rakyat Malaysia.