Ekzema ialah istilah kepada keradangan pada kulit yang menampakkan kemunculan lelehan, sisik atau keruping. Keradangan kulit ini menyebabkan pesakit berasa gatal dan resah. Istilah dermatitis atopik juga turut merujuk kepada ekzema.
Ekzema paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau bayi. Namun, keradangan kulit ini turut boleh berlaku kepada remaja atau orang dewasa. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa kira-kira 15%-20% di seluruh dunia terkesan dengan penyakit ini.
Ekzema lazimnya berlaku di bahagian pergelangan tangan, lutut, belakang lutut, pertengahan siku, muka dan leher.
Mereka yang menghidap penyakit seperti asma, rinitis alergi atau alahan makanan turut terdedah kepada kepada penyakit ini.

Simptom-simptom
Simptom utama bagi ekzema ialah gatal-gatal. Lazimnya, mereka yang mengalami ekzema ini akan mengaru-garu bahagian yang gatal ini menyebabkan kulit menjadi kemerahan dan lebih gatal.
Selain itu, terdapat beberapa simptom lain yang boleh berlaku seperti:
- kulit menjadi kasar dan sensitif
- kulit menjadi kering
- bengkak atau bintat-bintat kecil yang berair
- kulit menjadi tebal, merekah dan bersisik
Simptom-simptom bagi Kanak-kanak
Kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas akan menunjukkan simptom-simptom berikut:
- ruam yang timbul
- ruam gatal yang muncul di belakang lipatan lutut atau siku
- kulit menjadi tebal
- ruam yang mengubah warna kulit menjadi lebih gelap atau lebih cerah
- ruam gatal di bahagian leher, pergelangan tangan atau lipatan punggung
Punca Ekzema
Punca sebenar yang menyebabkan ekzema tidak diketahui dengan sepenuhnya tetapi ia dipercayai disebabkan oleh gabungan faktor keturunan dan persekitaran.
Selain itu, penyakit ini juga turut dipercayai disebabkan oleh sistem imun yang bertindak balas secara agresif apabila terdedah kepada perengsa (bahan iritasi).
Sistem imun mereka yang mengalami ekzema ini tidak dapat membezakan antara penceroboh luar (bakteria atau virus) dengan protein dalam badan.
Antara pencetus atau perengsa yang boleh menyebabkan ekzema ini adalah:
- berpeluh
- alahan makanan
- peningkatan suhu badan
- bahan kimia daripada sabun pencuci
- fabrik sintetik
- perubahan kelembapan secara mendadak
- sisik atau kulit mati daripada haiwan peliharaan
- tekanan (stres)
- asap rokok
- minyak wangi
- bahan logam terutamanya nikel
Komplikasi
Ekzema boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi berikut:
- Jangkitan kulit: Tindakan menggaru akibat gatal mendedahkan kulit kepada jangkitan bakteria atau virus.
- Asma atau resdung: Kanak-kanak yang mengalami ekzema berisiko tinggi untuk turut mengalami asma dan resdung.
- Masalah tidur: Gatal pada kulit terutamanya pada waktu malam akan mengganggu kualiti tidur mereka yang terkena penyakit ini.
- Kulit bersisik dan gatal yang kronik: Dikenali sebagai neurodermatitis.
- Dermatitis sentuh alergi.
Jenis-jenis Ekzema
Umumnya, istilah ekzema ini merujuk kepada dermatitis atopik yang merupakan jenis ekzema yang paling lazim berlaku dan kronik.
Namun, terdapat juga beberapa jenis ekzema yang lain seperti:
- Dermatitis sentuh. Tindak balas kulit terhadap bahan alergen.
- Dyshidrotic dermatitis. Iritasi pada kulit yang berlaku di tapak tangan atau tapak kaki.
- Neurodermatitis. Inflamasi setempat pada kulit, yang kejadiannya berkaitan dengan tekanan emosi atau akibat gigitan serangga.
Rawatan Ekzema
Simptom-simptom ekzema boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan dan terapi. Doktor akan menentukan rawatan terbaik untuk merawat simptom-simptom yang dialami oleh anda.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan boleh digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom yang terjadi. Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit ini adalah:
- Ubat antihistamin untuk mengurangkan kegatalan
- Antibiotik sekiranya berlaku jangkitan bakteria
- Krim steroid untuk merawat kegatalan yang teruk
- Losyen pelembap untuk mengurangkan kekeringan dan kegatalan
Terapi
- Terapi cahaya. Kaedah ini melibatkan pendedahan kulit yang terkesan kepada cahaya matahari, UVA atau UVB secara terkawal.
- Wet dressing. Kaedah yang melibatkan balutan di kawasan terkesan menggunakan krim sapuan kortikosteroid dan pembalut basah.
- Terapi biologi. Terapi ini melibatkan suntikan antibodi (dupilumab) untuk menghalang protein yang terlibat dengan keradangan ekzema.
Rawatan dirumah dan Langkah Pencegahan
Beberapa petua atau perubahan gaya hidup boleh dilakukan untuk mengurangkan kegatalan dan keradangan pada kulit. Amalkan beberapa langkah berikut untuk membantu mengurangkan simptom-simptom yang dialami:
- Lembapkan kulit. Lembapkan kulit menggunakan pelembap yang boleh diboleh diperolehi melalui belian kaunter sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
- Mandi air suam. Mandi air suam sekali sehari boleh membantu mengurangkan masalah kulit kering.
- Pakai pakaian jenis kapas dan nipis.
- Elakkan fabrik yang kasar.
- Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan.
- Makan suplemen vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan ekzema.
- Kurangkan tekanan. Tekanan boleh memburukkan lagi gatal-gatal.
- Gunakan alat pelembap udara.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Atopic dermatitis (eczema). MayoClinic.
- Andrew Moore. (2020). Eczema (Atopic Dermatitis) Overview. AAAAI .
- Healthline Editorial Team. Eczema: Symptoms, Causes, and Treatment. Healthline.
- Schmitt, J. et al. (2011). Eczema. BMJ clinical evidence.
- Raveendran R. (2019). Tips and Tricks for Controlling Eczema. Immunology and allergy clinics of North America.