Apa itu Alahan atau Alergi Telur?
Alahan telur adalah antara alahan makanan yang sering berlaku terutamanya kepada bayi atau kanak-kanak.
Alahan telur adalah tindak balas buruk badan terhadap pendedahan kepada telur atau produk yang mengandungi telur. Tubuh bertindak balas terhadap telur seperti ia adalah bahan berbahaya.
Alahan ini menyebabkan tanda-tanda atau gejala yang ringan hingga teruk seperti ruam kulit, gatal-gatal atau muntah.
Alahan telur boleh bermula seawal usia bayi. Bagi kebanyakan kanak-kanak, mereka berjaya mengatasi alahan telur mereka sebelum remaja. Manakala bagi orang dewasa, alahan telur adalah amat jarang berlaku.

Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala bagi alahan telur adalah sama dengan jenis-jenis alahan yang lain dan mungkin melibatkan satu atau lebih daripada tanda-tanda atau gejala berikut:
- Ruam kulit
- Gatal-gatal
- Bengkak pada kulit
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Muntah
- Hidung berair atau tersumbat
- Sesak nafas
- Denyutan jantung laju
Bagi kes-kes terpencil, tindak balas anafilaksis mungkin berlaku. Ini adalah keadaan kecemasan yang memerlukan suntikan epinefrina dan rawatan susulan di unit kecemasan.
Alahan Telur Bagi Bayi atau Kanak-kanak
Alahan telur adalah alahan makanan yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak termasuklah bayi.
Antara gejala-gejala atau simptom yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak adalah:
- Tindak balas kulit seperti ruam atau gatal-gatal
- Kemerahan pada muka
- Gatal-gatal pada mulut
Alahan Telur Bagi Orang Dewasa
Alahan telur adalah amat jarang berlaku kepada orang dewasa.
Namun, terdapat laporan kes berkenaan kejadian alahan telur dalam kalangan orang dewasa. Walaupun pesakit tidak mempunyai sejarah alahan telur pada zaman kanak-kanak atau pendedahan pekerjaan kepada protein telur.
Gejala-gejala atau simptom yang boleh berlaku kepada orang dewasa adalah:
- Bengkak pada bibir atau kelopak mata
- Mata berair dan gatal
- Gatal pada telinga atau tekak
- Sesak nafas
- Berdehit atau batuk
Punca atau Penyebab
Bagi alahan telur, sistem imun tersilap mengenali protein-protein telur sebagai berbahaya. Apabila anda atau anak anda memakan protein telur tersebut, sel-sel sistem imun (antibodi) mengenalinya dan memberi isyarat kepada sistem imun untuk mengeluarkan histamin dan bahan kimia lain yang menyebabkan tanda dan gejala alahan.
Kedua-dua kuning telur dan putih telur mengandungi protein yang boleh menyebabkan alahan, tetapi alahan kepada putih telur adalah yang paling biasa.
Bayi yang menyusu juga boleh mengalami tindak balas alahan terhadap protein telur dalam susu ibu jika ibu tersebut mengambil telur.
Produk-produk yang Mungkin Mengandungi Telur
Malangnya, walaupun makanan dilabel bebas telur, ia mungkin masih mengandungi beberapa protein telur. Sekiranya tidak pasti, anda boleh menghubungi pengilang.
Makanan-makanan yang mengandungi telur adalah:
- Mayonis
- Marshmallow
- Meringue
- Makanan berasaskan roti
- Marzipan
- Daging diproses atau bebola daging
- Puding atau kastard
- Kuah salad
- Kebanyakan pasta
- Pretzel
- Aising
Beberapa istilah menunjukkan bahawa produk telur telah digunakan dalam pembuatan makanan yang diproses adalah seperti:
- Albumin
- Globulin
- Lesitin (lecithin)
- Livetin
- Lisozim (lysozyme)
- Vitelin (vitellin)
- Perkataan bermula dengan “ova” atau “ovo” seperti ovalbumin.
Vaksinasi
Terdapat juga sesetengah vaksin yang mengandungi protein telur. Bagi anda yang mempunyai alahan telur, suntikan vaksin-vaksin ini boleh menyebabkan tindak balas alahan.
- Vaksin MMR (measles-mumps-rubella)-secara umumnya selamat bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan telur.
- Vaksin influenza
- Vaksin demam kuning
- Vaksin rabies
Rawatan
Cara terbaik untuk mencegah gejala-gejala atau simptom alahan telur adalah menghindari telur atau produk yang mengandungi telur.
Ubat-ubatan
Ubat seperti antihistamin boleh membantu mengurangkan gejala atau simptom-simptom alahan telur yang ringan.
Walau bagaimanapun, ubat antihistamin tidak berkesan untuk mencegah tindak balas anafilaksis atau merawat tindak balas yang teruk.
Suntikan Epinefrina
Suntikan epinefrina diperlukan sekiranya berlakunya tindak balas anafilaksis dan rawatan susulan di unit kecemasan diperlukan.
Rujukan
- Mathew P, Pfleghaar JL. Egg Allergy. [Updated 2022 Jul 23]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Egg allergy. MayoClinic
- Caubet, J. C., & Wang, J. (2011). Current understanding of egg allergy. Pediatric clinics of North America.