Apa itu Alahan Soya?
Alahan soya adalah salah satu daripada 9 alahan makanan utama termasuklah alahan susu, alahan telur, alahan kekacang, alahan gandum, alahan makanan laut dan lain-lain.
Alahan soya berlaku apabila sistem imun badan tersalah anggap bahawa protein di dalam soya sebagai penceroboh berbahaya dan menciptakan antibodi terhadap protein soya tersebut yang seterusnya menyebabkan tindak balas alahan.
Kacang soya adalah legum sama seperti kacang tanah, kacang ginjal, kacang kuda, kacang pea dan kacang serinding. Sesetengah orang yang mempunyai alahan soya turut mengalami tindak balas alahan terhadap legum yang lain.

Siapa yang Terdedah Kepada Alahan Soya?
Alahan soya lebih lazim berlaku kepada bayi atau kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sesiapa sahaja masih boleh mengalami alahan ini.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami alahan soya akan pulih daripada alahan ini apabila umur mereka meningkat iaitu sekitar umur 7 tahun.
Simptom-simptom Alahan Soya
Tindak balas alahan terhadap sesuatu makanan boleh bermula seawal beberapa minit hingga beberapa jam selepas memakan makanan tersebut.
Keterukan tindak balas itu juga berbeza-beza bagi individu berbeza. Alahan yang ringan mungkin menyebabkan simptom-simptom seperti gatal-gatal atau ruam.
Manakala alahan yang teruk boleh menyebabkan simptom-simptom yang teruk seperti sukar bernafas atau bengkak di kerongkong.
Berikut adalah simptom-simptom alahan soya yang boleh berlaku:
- Gatal-gatal
- Ruam
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Loya dan muntah
- Hidung berair atau berdehit
- Sukar bernafas atau ketat didada
- Pening atau pitam
- Kebas atau bengkak di bibir, lidah atau kerongkong
- Anafilaksis
Anafilaksis adalah tindak balas yang teruk yang memerlukan suntikan epinefrina yang cepat dan rawatan susulan di unit kecemasan.
Anafilaksis boleh menyebabkan simptom-simptom seperti:
- Sukar bernafas
- Kejutan dan penurunan tekanan darah
- Denyutan jantung laju
- Pening dan pengsan
Punca Alahan
Alahan soya berpunca daripada sistem imun yang bertindak balas berlebihan terhadap protein soya. Sistem imun badan menghasilkan antibodi terhadap protein-protein soya tersebut.
Kemudiannya, apabila produk soya dimakan atau diminum, sistem imun akan melepaskan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin untuk “melindungi” badan. Pelepasan bahan kimia ini menyebabkan simptom-simptom alahan.
Beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidapa alahan soya adalah:
- Sejarah keluarga yang mempunyai alahan makanan
- Usia muda
- Mempunyai alahan terhadap makanan lain seperti gandum, kekacang atau susu
Produk-produk yang Mengandungi Soya
Beberapa produk mengandungi kacang soya atau protein soya:
- Susu soya
- Kicap
- Tepung soya
- Tempeh
- Tauhu
- Miso
- Natto
- Sos teriyaki
- Edamame
- Tamari
- Hoisin
Rawatan
Kaedah terbaik untuk merawat alahan soya ini adalah dengan mengelakkan soya dan produk soya sepenuhnya.
Mereka yang mempunyai alahan ini atau ibu bapa kepada anak-anak yang mempunyai alahan ini harus membaca label dan membiasakan diri mereka dengan bahan-bahan yang mengandungi soya.
Sekiranya anda makan di luar, sila bertanya mengenai bahan-bahan yang digunakan dalam menu hidangan tersebut.
Ahli profesional kesihatan mungkin membekalkan anda dengan ubat antihistamin untuk mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
Suntikan epinefrina mungkin diperlukan sekiranya anda mengalami tindak balas alahan yang teruk.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional (2018). Soy Allergy. Cleveland Clinic
- Savage, J. H. et al. (2010). The natural history of soy allergy. The Journal of allergy and clinical immunology.