Apa itu Alahan atau Alergi Makanan Laut?
Alahan makanan laut atau alergi makanan laut adalah sejenis alahan makanan. Alahan makanan laut yang difahami oleh orang kebanyakan lebih merujuk kepada alahan kerang-kerangan (shellfish).
Hal ini disebabkan terdapat juga sesetengah orang yang mempunyai alahan terhadap ikan. Dalam artikel ini, alahan makanan laut yang dibincangkan adalah alahan terhadap makanan laut yang terdiri daripada kerang-kerangan.
Kebanyakan alahan makanan bermula pada zaman kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia berbeza dengan alahan makanan laut yang melibatkan kerang-kerangan.

Alahan atau alergi jenis ini boleh berlaku bila-bila masa termasuklah ketika dewasa. Ia juga boleh disebabkan oleh makanan yang sebelum ini boleh dimakan tanpa sebarang masalah.
Makanan yang Perlu Dielakkan Sekiranya Anda Menghidap Alahan Makanan Laut
Terdapat dua jenis kerang-kerangan yang utama iaitu krustasia dan moluska. Berikut adalah beberapa contoh makanan laut yang boleh menyebabkan tindak balas alahan.
Krustasia:
- Udang
- Ketam
- Udang halus
- Udang karang
- Udang krai
Moluska:
- Kerang
- Tiram
- Kupang
- Sotong
- Sotong kurita
- Scallop
Kebanyakan orang yang alergi kepada sejenis kerang-kerangan akan turut alergi kepada jenis yang lain. Ada juga yang boleh makan sesetengah jenis kerang-kerangan tanpa tindak balas alahan.
Tanda-tanda dan Gejala (Simptom)
Gejala atau simptom-simptom mungkin mengambil sedikit masa untuk muncul selepas anda atau anak anda memakan makanan laut tersebut. Namun, kebanyakannya muncul selepas beberapa minit.
Antara gejala atau simptom-simptom alahan makanan laut adalah:
- Rasa semut-semut di mulut
- Loya dan muntah
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Gatal-gatal atau ekzema
- Ruam
- Bengkak pada muka, bibir, lidah, jari, tangan, telinga atau kerongkong
- Pening atau pitam
Tindak balas alahan makanan laut juga boleh menjadi serius sehingga boleh membahayakan nyawa. Tindak balas yang dikenali sebagai anafilaksis ini memerlukan rawatan perubatan yang segera.
Antara simptom-simptomnya adalah:
- Denyutan nadi yang laju
- Bengkak pada kerongkong sehingga sukar bernafas
- Pening yang teruk atau tidak sedarkan diri
- Penurunan tekanan darah yang mendadak (kejutan)
Punca
Semua jenis alahan makanan adalah disebabkan sistem imun yang bertindak balas secara berlebihan. Sistem imun mengenal pasti sebatian (alergen) yang tidak berbahaya sebagai bahaya.
Dalam konteks makanan laut, sistem imun tersilap mengenal pasti protein di dalam makanan laut sebagai berbahaya. Akibatnya, sistem imun ini menghasilkan antibodi untuk melindungi badan daripada alergen tersebut.
Berikutnya, apabila anda memakan makanan laut, antibodi tersebut akan menghantar isyarat supaya sistem imun merembeskan bahan kimia yang dipanggil histamin ke dalam saluran darah.
Keadaan ini akan menyebabkan gejala atau simptom-simptom berkaitan dengan tindak balas alahan.
Rawatan untuk Alahan Makanan Laut
Langkah terbaik bagi alahan ini adalah menghindari semua jenis kerang-kerangan.
Sekiranya anda atau anak anda mengalami tindak balas alahan yang teruk seperti anafilaksis, anda memerlukan suntikan kecemasan epinefrina. Kemudian, pesakit mesti dibawa ke unit kecemasan hospital atau klinik berhampiran.
Untuk merawat gejala atau simptom-simptom seperti ruam dan sebagainya, ubat antihistamin boleh membantu.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Shellfish Allergy. MayoClinic
- Kerr, M. (2019). Shellfish Allergies. Healthline.
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Allergies: Shellfish. Cleveland Clinic