Apa itu Alahan Kacang?
Alahan kacang atau alahan kekacang adalah salah satu alahan (alergi) makanan yang paling lazim berlaku dan berbahaya.
Bagi sesetengah orang, hanya jumlah kacang yang sedikit sudah memadai untuk menyebabkan tindak balas yang teruk sehinggakan mengancam nyawa.
Alahan kacang adalah alahan yang paling lazim berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Alahan kacang boleh dibahagikan kepada dua iaitu alahan kacang daripada pokok (tree nut) dan alahan kacang tanah.

Jenis-jenis Kacang
Sekiranya anda menghidap alahan kacang, badan anda akan bertindak balas apabila anda memakan kacang. Anda mungkin alahan hanya terhadap sejenis kacang atau beberapa jenis kacang.
Antara jenis-jenis kacang (tree nut) adalah:
- Kacang badam
- Kacang walnut
- Kacang gajus
- Kacang pekan (pecan)
- Kacang Brazil
- Kacang macadamia
- Kacang pistasio
Walaupun kacang tanah dipanggil kacang, tetapi sebenarnya kacang tanah dikategorikan sebagai legum. Tidak seperti kacang daripada pokok, ia tumbuh di dalam tanah.
Meskipun kacang tanah bukan daripada pokok, alahan terhadap kacang tanah turut menyebabkan tindak balas yang sama seperti alahan kacang daripada pokok.
Tanda-tanda atau Gejala Alahan (Alergi) Kacang
Tanda-tanda atau gejala alahan kacang adalah seperti berikut:
- Gatal-gatal
- Bengkak bibir
- Ruam kulit
- Hidung berair
- Kebas di mulut atau tekak
- Sakit perut
- Loya dan muntah
- Berdehit
Alahan kacang tanah adalah alahan makanan yang lazimnya menyebabkan tindak balas yang teruk yang dipanggil anafilaksis. Anafilaksis memerlukan rawatan kecemasan segera iaitu suntikan epinefrina dan rawatan susulan ke unit kecemasan.
Antara tanda-tanda dan gejala anafilaksis adalah:
- Bengkak pada kerongkong yang menyebabkan sukar bernafas
- Denyutan nadi yang laju
- Tekanan darah menurun mendadak
- Pening atau tidak sedarkan diri
- Sesak nafas
Punca atau Penyebab
Kacang mengandungi protein yang tidak terjejas terhadap haba atau asid, maka ia masih utuh walaupun setelah diproses, dimasak atau dicernakan.
Bagi mereka yang sensitif terhadap protein tersebut, badan mereka akan menghasilkan antibodi untuk melawan protein tersebut.
Antibodi melekat pada protein tersebut. Ini mencetuskan tindak balas sistem imun untuk mengeluarkan bahan kimia yang dipanggil histamin. Histamin ini yang menyebabkan tindak balas alahan seperti gatal-gatal, bengkak, ruam dan sebagainya.
Pendedahan kepada kacang atau kacang tanah boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti:
- Sentuhan langsung: Tindak balas berlaku apabila anda memakan kacang atau memakan makanan yang mengandungi kacang.
- Sentuhan silang: Tindak balas berlaku apabila terdedah kepada makanan yang tercemar dengan kacang semasa pemprosesan atau pengendalian.
- Penyedutan: Tindak balas berlaku akibat tersedut habuk atau aerosol yang mengandungi kacang seperti tepung kacang atau semburan minyak kacang tanah.
Rawatan
Langkah terbaik untuk merawat alahan kacang adalah menghindari kekacang dan makanan yang mengandungi kacang.
Anda harus peka dan memeriksa label makanan sebelum anda memakan sesuatu makanan. Biasanya, pengilang akan meletakkan label sekiranya makanan tersebut mengandungi kacang.
Sekiranya makanan tersebut tidak mengandungi kacang tetapi mungkin tercemar dengan kacang semasa proses pengilangan, pihak pengilang biasanya akan meletakkan label “mungkin mengandungi kacang” atau “dihasilkan di dalam kilang yang turut memproses produk kacang atau kacang tanah”.
Ubat-ubatan
Sekiranya anda mengalami tindak balas alahan yang ringan, biasanya ubat-ubatan berikut boleh membantu:
- Ubat antihistamin: Ubat ini boleh mencegah atau mengurangkan penghasilan histamin seterusnya dapat melegakan gejala-gejala seperti gatal-gatal, ruam dan sebagainya.
- Ubat kortikosteroid: Ubat ini boleh membantu mengurangkan gejala seperti bengkak.
Imunoterapi
Imunoterapi bagi alahan kacang atau kacang tanah melibatkan pemberian kacang tanah atau kekacang pada jumlah yang kecil secara berperingkat dalam satu jangka masa yang tertentu.
Imunoterapi ini bukanlah penyembuh tetapi satu pendekatan yang mengurangkan risiko tindak balas alahan yang teruk seperti anafilaksis.
Rujukan
- Patel R, Koterba AP. Peanut Allergy. [Updated 2022 Jul 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Peanut allergy. MayoClinic
- Cleveland Clinic Professional. (2021). Peanut allergy. Cleveland Clinic