Apa itu Alahan Kacang Tanah?
Alahan kacang tanah berlaku apabila badan anda bertindak balas secara berlebihan terhadap kacang tanah. Ia berlaku apabila badan anda tersilap mengenal pasti kacang tanah atau protein dalam kacang tanah sebagai bahan berbahaya.
Alahan kacang adalah salah satu alahan makanan yang lazim berlaku. Ia juga merupakan alahan makanan yang banyak menyebabkan serangan alahan yang teruk.
Bagi sesetengah orang yang menghidap alahan kacang tanah, walaupun sebilangan kecil kacang tanah boleh menyebabkan tindak balas serius yang boleh mengancam nyawa (anafilaksis).

Apabila anda mengalami alahan kacang tanah, sistem imun anda tersilap mengenal pasti protein dalam kacang tanah sebagai berbahaya seperti bakteria atau virus.
Akibatnya, apabila anda bersentuhan atau makan kacang tanah pada kali kedua, badan anda akan mencetuskan tindak balas alahan.
Alahan kacang tanah biasanya muncul semasa zaman kanak-kanak dengan gejala-gejala berlaku seawal usia 4 bulan dan biasanya dalam 2 tahun pertama kehidupan.
Kira-kira 20% kanak-kanak secara semula jadi akan mengatasi alahan kacang tanah dan tahan terhadap kacang tanah tanpa sebarang kejadian alahan di kemudian hari.
Tanda-tanda atau Gejala Alahan Kacang Tanah
Tindak balas alahan terhadap kacang tanah biasanya berlaku dalam masa beberapa minit selepas pendedahan.
Tanda-tanda dan gejala alahan kacang tanah adalah seperti berikut:
- Gatal-gatal, kemerahan atau bengkak
- Gatal-gatal di dalam atau sekitar mulut dan tekak
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Loya atau muntah
- Hidung berair
- Berdehit atau sesak nafas
- Anafilaksis
Tindak balas anafilaksis boleh membahayakan nyawa dan rawatan kecemasan seperti suntikan epinefrin perlu diberikan segera.
Tanda-tanda dan gejala anafilaksis adalah seperti berikut:
- Saluran udara menyempit
- Bengkak dalam tekak yang menyebabkan kesukaran bernafas
- Bengkak di lidah atau bibir
- Batuk berulang-ulang
- Tekanan darah menurun
- Denyutan nadi laju
- Pening kepala
- Hilang kesedaran
Punca yang Menyebabkan Alahan Kacang Tanah
Alahan kacang tanah berlaku apabila sistem imun anda tersilap mengenal pasti protein kacang sebagai sesuatu yang berbahaya.
Sentuhan langsung atau tidak langsung dengan kacang tanah menyebabkan sistem imun anda mengeluarkan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin.
Histamin ini menyebabkan gejala-gejala alahan.
Bagaimana Alahan Ini di Diagnosis?
Mendiagnosis alahan kacang tanah boleh menjadi rumit. Gejala-gejala boleh berbeza-beza bagi setiap orang.
Anda mungkin tidak selalu mengalami gejala-gejala yang sama setiap kali tindak balas berlaku.
Doktor mungkin menjalankan beberapa ujian berikut:
- Ujian kulit: Sebilangan kecil makanan diletakkan pada kulit anda, yang kemudian dicucuk dengan jarum. Jika anda alah kepada bahan tertentu, anda mengalami benjolan atau tindak balas yang timbul.
- Ujian darah: Ujian darah boleh mengukur tindak balas sistem imun anda terhadap makanan tertentu dengan memeriksa jumlah antibodi jenis alahan dalam aliran darah anda, yang dikenali sebagai antibodi immunoglobulin E (IgE).
- Diet penyingkiran: Jika tidak jelas bahawa kacang tanah yang menyebabkan gejala-gejala atau jika doktor anda fikir anda mungkin mempunyai reaksi terhadap lebih daripada satu jenis makanan, mereka mungkin mengesyorkan diet penyingkiran. Anda mungkin diminta untuk menyingkirkan kacang tanah atau makanan lain yang disyaki selama satu atau dua minggu, dan kemudian menambah makanan itu semula ke dalam diet anda satu demi satu.
Rawatan
Sekiranya anda menghidap alahan kacang tanah, mengelak daripada memakan kacang tanah atau produk yang mengandungi kacang tanah adalah amalan biasa untuk mencegah tindak balas.
Selain itu, anda juga perlu memberikan perhatian terhadap apa yang anda makan. Baca label ramuan atau bahan-bahan sesuatu produk sebelum anda membeli dan memakannya.
Tambahan lagi, perhatikan juga istilah “mungkin mengandungi kacang tanah” atau “dihasilkan di kilang yang turut memproses produk kacang tanah” bagi mengelakkan pencemaran silang.
Ubat-ubatan
Jika anda mempunyai alahan kacang tanah, doktor mungkin menetapkan ubat untuk mengurangkan gejala-gejala tindak balas alahan.
Antaranya adalah:
- Antihistamin: Ubat-ubatan ini mengurangkan kesesakan atau kegatalan.
- Kortikosteroid: Ubat ini mengurangkan bengkak sekiranya anda mempunyai tindak balas alahan.
- Epinefrin: Ini adalah ubat kecemasan yang menyelamatkan nyawa yang segera menterbalikkan gejala-gejala anafilaksis.
Imunoterapi Oral
Imunoterapi oral adalah rawatan yang melibatkan memberi penghidap alahan atau mereka yang berisiko mengalami alahan kacang tanah makanan yang mengandungi kacang tanah. Dos makanan yang mengandungi kacang tanah tersebut akan dinaikkan dari semasa ke semasa.
Imunoterapi oral bukanlah ubat untuk alahan kacang tanah. Sebaliknya, terapi jenis ini bertujuan untuk mengurangkan risiko tindak balas yang teruk, termasuklah anafilaksis.
Rujukan
- Patel R, Koterba AP. Peanut Allergy. [Updated 2022 Jul 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Peanut allergy. MayoClinic