Walaupun kedengaran janggal, namun sebenarnya alahan ikan wujud dan banyak berlaku di negara-negara luar seperti Eropah dan Amerika Syarikat. Di Malaysia dan kebanyakan negara Asia, kelaziman alahan ikan adalah rendah. [1, 2]
Apa itu Alahan Ikan?
Alahan ikan adalah salah satu daripada 9 alahan makanan utama yang disebabkan tindak balas tidak normal sistem imun badan terhadap ikan atau protein ikan.
Tidak seperti alahan makanan yang lain, alahan ikan mungkin tidak ketara semasa kanak-kanak sehinggalah seseorang itu mencapai usia remaja atau dewasa.
Mempunyai alahan terhadap ikan bersirip tidak bermakna anda turut mempunyai alahan terhadap kerang-kerangan (udang, ketam atau kerang).

Walaupun sesetengah pakar mengesyorkan bahawa individu yang mempunyai alahan ikan mengelak daripada memakan semua jenis ikan, seseorang yang alah kepada satu jenis ikan mungkin boleh makan ikan daripada jenis yang lain dengan selamat.
Gejala-gejala atau Tanda Alahan Ikan
Seperti alahan makanan yang lain, gejala-gejala alahan ikan juga mungkin ringan atau teruk. Antara gejala-gejala atau tanda alahan ikan yang boleh berlaku adalah:
- Hidung tersumbat atau bersin
- Hidung berair
- Sakit kepala
- Sukar bernafas (asma)
- Sakit perut
- Ketidakhadaman
- Kembung perut atau sendawa
- Cirit-birit
- Loya atau muntah
- Gatal-gatal atau ruam kulit
Gejala-gejala boleh terbentuk melalui beberapa situasi seperti:
- Memakan ikan
- Menyedut bau ikan yang dimasak
- Menyentuh ikan atau alatan yang digunakan untuk menyiang ikan
Bagi sesetengah orang, alahan ikan boleh menyebabkan tindak balas alahan yang teruk yang dikenali sebagai anafilaksis.
Anafilaksis akan menyebabkan gejala-gejala seperti berikut:
- Ruam yang merebak keseluruh badan
- Bengkak pada muka, mulut dan lidah
- Berdehit
- Sesak nafas
- Denyutan jantung laju
- Meracau
Punca atau Penyebab
Punca atau alergen yang bertanggungjawab menyebabkan alahan ikan adalah protein yang dikenali sebagai parvalbumin. Parvalbumin ini hanya berbeza sedikit antara spesies ikan berbeza. Ini bermakna, alahan terhadap ikan tertentu boleh juga menyebabkan alahan terhadap ikan lain.
Terdapat lebih 20,000 spesies ikan di dunia dan beberapa spesies diketahui berisiko tinggi menyebabkan alahan. Antaranya adalah:
- Ikan kap
- Ikan Cod
- Ikan tilapia
- Ikan mackerel
- Ikan Herring
- Ikan Halibut
- Ikan salmon
- Ikan siakap
- Ikan tuna/ikan tongkol
- Ikan Trout
- Ikan flounder
- Ikan merah
- Ikan todak
- Ikan patin
Selain ikan segar, terdapat juga produk-produk yang mengandungi ikan. Contohnya seperti:
- Sos Worcestershire
- Budu
- Kuah salad Caesar
- Bebola ikan
- Kek ikan (fish cake)
- Keropok lekor
- Keropok keping
- Kuah laksa
- Kuah laksam
Tambahan itu juga, mereka yang mempunyai alahan terhadap ikan berkemungkinan juga untuk turut mempunyai alahan terhadap gelatin ikan yang diperbuat daripada kulit dan tulang ikan.
Penghidap alahan ini juga mungkin turut mengalami tindak balas alahan sekiranya mengambil suplemen minyak ikan.
Rawatan
Langkah terbaik untuk menguruskan alahan ini adalah dengan mengelak daripada memakan ikan yang anda alah terhadapnya.
Doktor biasanya menyarankan untuk anda mengelakkan semua jenis ikan.
Sekiranya anda mengalami gejala-gejala ringan, anda boleh merawatnya menggunakan ubat antihistamin belian kaunter.
Sekiranya anda berisiko mengalami tindak balas yang teruk, anda dinasihatkan untuk sentiasa membawa penyuntik epinefrina yang harus disuntikkan pada peha sekiranya berlaku kecemasan seperti anafilaksis.
Rujukan
- Kalic, T. et al. (2021). Fish Allergy Around the World-Precise Diagnosis to Facilitate Patient Management. Frontiers in allergy.
- Yadav, A., & Naidu, R. (2015). Clinical manifestation and sensitization of allergic children from Malaysia. Asia Pacific allergy.