Apa itu Alahan atau Alergi Gandum?
Alahan gandum adalah salah satu daripada alahan makanan yang sering juga berlaku. Alahan gandum berlaku apabila sistem imun badan bertindak balas berlebihan terhadap gandum yang dimakan, diminum atau dihidu.
Bagi kebanyakan orang, memakan gandum tidak berbahaya atau menyebabkan apa-apa tindak balas yang tidak diingini. Namun, sekiranya anda mempunyai alahan gandum, sistem imun anda menganggap gandum sebagai penceroboh berbahaya seperti bakteria atau virus.
Alahan gandum kadang-kadang turut disalah tafsir sebagai penyakit seliak. Walau bagaimanapun, kedua-dua keadaan ini adalah berbeza.

Tanda-tanda dan Gejala Alahan
Alahan gandum adalah lebih lazim berlaku kepada kanak-kanak. Meskipun begitu, orang dewasa juga masih boleh mengalami alahan makanan jenis ini.
Kanak-kanak atau orang dewasa yang menghidap alahan gandum akan menunjukkan tanda-tanda atau gejala alahan dalam masa beberapa minit atau jam selepas memakan makanan yang mengandungi gandum.
Tanda-tanda atau gejala (simptom) yang biasanya berlaku adalah:
- Ruam kulit
- Urtikaria (ruam gatal)
- Bengkak pada kulit
- Sakit kepala
- Loya dan muntah
- Hidung tersumbat
- Cirit-birit
- Hidung berair
- Berdehit
- Ketidakhadaman
- Kejang perut
- Bersin
- Anafilaksis
Anafilaksis
Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang boleh mengancam nyawa. Gejala-gejala anafilaksis adalah seperti:
- Bengkak di kerongkong
- Sakit dada atau sesak dada
- Sukar bernafas
- Sukar untuk menelan
- Kulit menjadi pucat dan biru
- Pening atau pengsan
Punca atau Penyebab Alahan Gandum
Alahan gandum berpunca daripada tindak balas sistem imun terhadap protein-protein gandum seperti:
- Albumin
- Globulin
- Gliadin
- Gluten
Makanan yang mengandungi protein gandum
Sesetengah makanan seperti roti adalah jelas menggunakan gandum. Tetapi, terdapat juga makanan atau produk-produk lain yang turut menggunakan protein gandum tanpa anda sedari.
Antaranya adalah:
- Serbuk roti
- Kek
- Mufin atau baulu
- Biskut
- Bijirin pagi
- Pasta atau mi
- Biskut tawar
- Kicap
- Sosej atau hot dog
- Aiskrim
- Pewarna semula jadi
- Kanji bergelatin
- Ladu (dumpling)
- Sos Worcestershire
- Monosodium glutamate
- Minuman malt
- Protein sayur terhidrolisis
Barli, oat dan rai juga turut mengandungi sesetengah protein gandum. Maka, seseorang yang mempunyai alahan gandum mungkin juga turut mengalami alahan terhadap barli, oat dan rai tersebut.
Rawatan
Mengelakkan protein gandum adalah rawatan terbaik untuk alahan gandum. Oleh sebab protein gandum terdapat dalam banyak makanan yang disediakan, membaca label produk dengan teliti boleh menyelamatkan anda.
Ubat-ubatan
- Ubat antihistamin: Ubat antihistamin boleh mengurangkan tanda-tanda dan gejala alahan. Ubat ini boleh diambil selepas terdedah kepada gandum untuk mengawal tindak balas anda dan membantu melegakan ketidakselesaan.
- Epinefrina: Epinefrina adalah rawatan kecemasan terhadap tindak balas anafilaksis. Jika anda berisiko mengalami tindak balas teruk terhadap gandum, anda mungkin perlu membawa dua dos suntikan epinefrina bersama anda pada setiap masa.
Rawatan Kecemasan
Rawatan kecemasan di unit kecemasan hospital diperlukan bagi sesiapa yang mengalami tindak balas anafilaksis walaupun selepas mengambil suntikan epinefrina.
Rujukan
- Patel N, Samant H. Wheat Allergy. [Updated 2022 May 30]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Wheat allergy. MayoClinic