Apa itu Alahan Bijan?
Alahan bijan adalah alahan makanan yang melibatkan tindak balas alahan terhadap protein yang terdapat di dalam bijan atau komponen dalam minyak bijan. Bijan adalah antara biji yang banyak digunakan dalam makanan di seluruh dunia.
Alahan bijan kurang mendapat publisiti seperti mana alahan kacang tanah. Namun, alahan jenis ini turut boleh menyebabkan tindak balas alahan yang teruk seperti anafilaksis.
Bilangan orang yang mempunyai alahan bijan telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jika anda mempunyai alahan terhadap bijan, anda tidak bersendirian.

Kajian turut melaporkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai alahan bijan turut mempunyai alahan terhadap kacang tanah dan kekacang.
Peningkatan alahan bijan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan bilangan produk yang mengandungi biji bijan dan minyak bijan.
Minyak bijan dianggap sebagai minyak masak yang sihat dan digunakan dalam pelbagai penyediaan makanan termasuk hidangan vegetarian tertentu, kuah salad, dan banyak hidangan Timur Tengah dan Asia.
Selain itu, minyak bijan juga turut digunakan dalam pelbagai produk farmaseutikal termasuklah kosmetik dan losyen kulit.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom alahan yang mungkin dialami jika anda menghidap alahan bijan adalah seperti berikut:
- Loya dan muntah
- Cirit-birit
- Gatal-gatal
- Sakit perut
- Batuk
- Gatal-gatal di dalam tekak atau mulut
- Merah pada muka
- Bengkak
- Anafilaksis
Seseorang itu mungkin mengalami tindak balas yang teruk (anafilaksis) jika menunjukkan simptom-simptom seperti:
- Sukar bernafas
- Pitam
- Denyutan jantung laju
- Pening
- Tekanan darah menurun
Anafilaksis memerlukan rawatan segera iaitu menggunakan suntikan epinefrina dan rawatan susulan di unit kecemasan hospital.
Punca Alahan
Alahan bijan berpunca daripada tindak balas sistem imun yang beranggapan bahawa protein bijan atau komponen dalam minyak bijan sebagai penceroboh berbahaya.
Sistem imun akan menghasilkan antibodi terhadap protein bijan dan komponen minyak bijan tersebut.
Kemudiannya, apabila individu yang menghidap alahan ini makan biji bijan, minyak bijan atau produk mengandungi bijan, sistem imun akan melepaskan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin untuk “melindungi” badan. Pelepasan bahan kimia ini menyebabkan simptom-simptom alahan.
Makanan-makanan yang Perlu Dielakkan Kerana Mengandungi Bijan
Terdapat pelbagai makanan mengandungi bijan terutamanya makanan dari Timur Tengah dan Asia. Kedai-kedai roti dan kek juga banyak menggunakan biji bijan sebagai hiasan atas.
Adalah penting untuk penghidap alahan bijan untuk mengelakkan makanan yang mengandungi:
- Biji bijan
- Minyak bijan
- Tahini
Selain itu, makanan-makanan berikut mungkin mengandungi bijan atau minyak bijan. Sila pastikan ia bebas daripada bijan sebelum anda memakannya.
- Roti, ban atau bagel
- Humus
- Menu Asia
- Muesli atau granola
- Baklava atau kek Turki
- Sushi
- Sos dan pencicah
- Tortila
- Roti pita
- Sesetengah sup
- Burger vegetarian
- Kebab
- Bar tenaga atau protein
- Pretzel
- Perapan, kuah salad atau sos
- Pencuci mulut Jepun seperti goma doff
Tambahan daripada itu juga, produk-produk seperti kosmetik, ubat, suplemen atau makanan haiwan peliharaan juga mungkin turut mengandungi bijan.
Bagi label makanan pula, pastikan makanan anda tidak mempunyai label makanan berikut:
- Sesame (bijan)
- Sesamol atau sesamolina
- Sesamum indicum
- Benne, benne seed atau benniseed
- Gingelly atau gingelly oil
- Sim sim
Rawatan
Langkah terbaik bagi merawat alahan bijan adalah dengan mengelakkan semua makanan atau produk yang mengandungi bijan.
Sekiranya anda atau anak anda menunjukkan tindak balas alahan yang ringan, rawatan menggunakan ubat antihistamin yang boleh didapati di farmasi boleh membantu.
Namun, bagi tindak balas yang teruk seperti anafilaksis, suntikan epinefrina perlu diberikan segera. Selepas itu, pesakit perlu dibawa ke unit kecemasan untuk rawatan susulan.
Rujukan
- Sokol, K. et al. (2020). Prevalence and diagnosis of sesame allergy in children with IgE-mediated food allergy. Pediatric allergy and immunology.
- Warren, C. M. et al. (2019). Prevalence and Severity of Sesame Allergy in the United States. JAMA network open.
- Fletcher,J. (2021). Food to avoid with a sesame allergy. MedicalNewsToday